Saturday, May 19, 2012

Tiang Kewangan – Simpanan



tiang kewangan


Baik, ini adalah permulaannya.
Ibarat sebuah rumah, tapaknya sudah didapati, bajetnya sudah dicapai, rekabentuknya juga sudah dilukis, kini masa untuk mulakannya. Ya, mari dirikan tiangnya dahulu. Apabila kuat dan besarnya tiang, maka tinggi dan kuatlah binaan rumah ini.
Ketepikan dulu hiasan dalaman, kemasan laman dan barangan lekapan. Fokus pada tiang serinya dahulu.
Tiang pada penguasaan kewangan ialah simpanan. Angkat tangan siapa yang ada akaun simpanan di bank tempatan? Mungkin 100% sidang pembaca budiman melakukannya. Bagus, boleh terus mulakannya.
Tapi, gaji saya cukup-cukup sahaja. Bagaimana mahu menyimpan?
Berhenti ‘membangau’. Sebab gaji kamu cukup-cukuplah kamu kena menyimpan. Jika tidak, bumbung rumah kamu tidak lama lagi akan runtuh menimpa hidung ketika sedang enak lena di malam hari.


Mengapa dan Berapa Perlu Disimpan?

Mengapa Simpanan?
Kerana simpanan adalah asas perlindungan, asas pelaburan, asas percukaian, asas persaraan, asas perwarisan malah asas amal jariah. Ia adalah asas utama hal ehwal kewangan.
Ibarat tiang, kita binanya sekali sahaja, kerana apabila tiangnya sudah kuat, buatlah apa sahaja penambahan dan hiasan, rumah kamu tetap kukuh dan comel!
Berapa Mahu Simpan?
Jumlahnya anda tetapkan. Asasnya, mulakanlah dengan simpanan untuk tiga bulan perbelanjaan. Jika anda berhajat memulakan pelaburan berisiko kecil dan sederhana, simpanlah sehingga enam bulan perbelanjaan dahulu.
Jumlahkan perbelanjaan bulanan anda sekarang untuk mengetahui jumlah simpanan wajib yang anda perlukan. Teruskan simpanan itu walaupun sudah mencapai targetnya. Bayarlah zakat simpanannya.
berapa jumlah wang yang mahu disimpan
Anda boleh merasakan sedikit kelegaan bila mempunyai simpanan. Sebaliknya anda akan dilanda banyak keresahan, apabila tidak mempunyai simpanan mencukupi walaupun anda berpendapatan tinggi
Bayangkan kamu mempunyai simpanan selama 84 bulan. Alangkah leganya rasa hati. Cuma ingat, tuan puan tidak akan kaya hanya dengan menyimpan.
Tetapi tuan puan pasti akan susah jika tidak menyimpan. Jadi simpanlah.


Bagaimana Mahu Mula Menyimpan?

Bahagikan simpanan tuan puan kepada dua jenis dana. Saya cadangkan setiap satunya adalah 10% dari pendapatan tuan puan. Maka jumlahnya ialah 20% semuanya. Buatkan dua akaun simpanan khas.
Salah satunya tuan puan namakan Dana Bebas Kewangan (10%), satu lagi namakannya Dana Hajat (10%).
Dana Bebas Kewangan adalah angsa emas tuan puan yang tidak boleh dibunuh dan tidak boleh dikeluarkan. Cadangannya, simpanlah di akaun simpanan bersifat pelaburan. Lebih besar perkongsian keuntungannya lebih baik.
Perhatikan dan pastikan kepatuhan syariahnya ya? Maka di situ tuan puan akan mendapat kelebihan tindihan keuntungan. Katakan simpanan asal kita RM1,000, keuntungan simpanan tahunan ialah 8%, simpanan itu (tambah untung) sudah menjadi RM1,080 pada tahun hadapannya.
Teruskan menyimpan setiap hari, bulan dan tahun. Tidak mustahil satu hari nanti simpanan dana ini mencecah sejuta RM, sekiranya kita bermula sekarang.
volkswagen gti
Dana Hajat pula adalah simpanan bagi menunaikan hajat. Sebagai contoh, hajat tuan membeli iPhone 4s atau hajat untuk membeli Volkswagen Polo Gti.
Apatah lagi hajat berumah tangga bagi kamu si bujang teruna dan dara. Jika 10% dirasakan kecil dan lambat, tambahkan lagi peruntukannya. Cuma bersedialah untuk mengurangkan perbelanjaan tuan puan.
Contohnya, untuk hajat belian iPhone4s, tuan perlu menyimpan selama 7 bulan jika tuan mempunyai pendapatan RM2,800. Sabarlah sedikit tuan, berbaloi-baloi. Apatah lagi sekiranya hajat itu adalah hajat menunaikan haji.
Super berbaloi.


Menyimpan Adalah Tabiat

Perkara yang kerap dibuat disebut tabiat. Tabiat pula ada tabiat baik dan tabiat buruk. Orang berjaya bukan tidak mempunyai tabiat buruk, cuma mereka fokus kepada tabiat mereka yang baik.
Menyimpan adalah tabiat baik, manakala tidak menyimpan ialah tabiat tidak baik. Terpulanglah pada tuan puan untuk memilih. Pilihan tuan menentukan impian mencapai kebebasan kewangan akan tercapai atau tidak.
bapak korek, anak rintik
Malah pilihan tuan puan akan turun sebagai warisan kepada keluarga. Bapak borek, anak rintik.
Jadi tuan puan, mulai sekarang :
  1. Tulis amaun simpanan wajib.
  2. Tentukan dua akaun yang akan digunakan untuk kedua dana tersebut.
  3. Tentukan amaun 10% berkenaan bagi setiap dana.
  4. Simpan.
Jumpa lagi ya. ;)
Kuat sungguh muda belia,
Pimpin si tua melintas jalan,
Amalan menyimpan tabiat mulia,
Senanglah diri, disukai tuhan.
Kredit gambar yang diambil dari Flickr (izamreemankamendpwphotographypseudo_hatred)


Arikel Asal : http://www.majalahniaga.com/simpanan-faktor-utama-kewangan.html
Ditulis oleh  pada 19 Oct 2011 dalam Tip Kewangan





"Emas & perak sewajarnya menjadi salah satu portfolio wajib
dalam perancangan kewangan setiap orang.
Rancanglah wang anda dengan bijak!"

Semoga kita semua kaya dan berjaya, dunia dan akhirat!


.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...